16 Jun 2026 – My VIVA VOCE Memori Untuk Disimpan dan Dikenang

  Alhamdulillah. 16 Jun 2026, satu tarikh yang insya-Allah akan kekal dalam ingatan aku sampai bila-bila. Perjalanan menghadapi sesi Viva Vo...

Friday, June 19, 2026

16 Jun 2026 – My VIVA VOCE Memori Untuk Disimpan dan Dikenang

 

Alhamdulillah.

16 Jun 2026, satu tarikh yang insya-Allah akan kekal dalam ingatan aku sampai bila-bila.

Perjalanan menghadapi sesi Viva Voce pada 16 Jun bermula seperti hari-hari biasa, cuma aku bangun lebih awal sedikit. Jam 4.30 pagi dah terjaga. Selepas solat sunat, membaca Surah Yasin dan berdoa agar dipermudahkan segala urusan, aku sempat membuat sedikit ulang kaji. Bukan baca semua pun, sekadar melihat semula beberapa soalan dan jawapan yang berpotensi ditanya oleh examiner.

Malam sebelumnya juga banyak input dan perkongsian yang diberikan oleh sahabat-sahabat dalam kumpulan PhD. Alhamdulillah, mempunyai sistem sokongan yang baik sememangnya satu nikmat yang besar untuk seorang calon PhD. Kata-kata semangat, cadangan jawapan dan doa mereka sedikit sebanyak membantu menenangkan fikiran.

Terima kasih geng peers — Aida, Ikhwan, Fara, Kak Norze, Fiza, Mas, Kak D dan ramai lagi yang sentiasa ada sepanjang perjalanan ini. Sesungguhnya aku sangat menghargainya.

Sebelum bertolak ke Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Universiti Malaya, aku sempat menghubungi keluarga tercinta. Mohon doa daripada mak, baba, isteri, anak-anak dan ahli keluarga yang lain. Aku juga cuba berehat dan menenangkan diri supaya hati lebih lapang dan fikiran lebih fokus.

Sekitar jam 8 pagi aku bertolak ke UM. Awal sedikit daripada yang diperlukan. Bukan apa, sekadar persediaan jika berlaku perkara yang tidak dijangka, dan dalam masa yang sama memberi ruang untuk aku bertenang sebelum sesi bermula.

Sampai sahaja di UM, sahabatku Dr. Aida sudah menunggu. Kehadiran beliau benar-benar membantu menenangkan perasaan yang ketika itu mula bercampur-baur. Sebelum masuk ke bilik, kami sempat berbual santai dan bergurau sedikit.


Jam 9.30 pagi, Dr. Aida mengiringi aku masuk ke bilik Viva untuk menguji slaid dan memastikan semuanya berjalan lancar. Sempat juga buat video sikit sebagai kenangan. Hahaha.

Tidak lama kemudian, sekitar jam 9.45 pagi, penyeliaku, Prof. Kiran dan Dr. Sam tiba. Sehari sebelumnya kami sempat membuat sedikit sesi latihan dan mereka memberikan banyak nasihat yang sangat berguna. Walaupun ada beberapa perkara yang sebenarnya aku masih kurang jelas, tapi nak tak nak kena hadapi juga.

Alhamdulillah, sedikit sebanyak ia membantu meningkatkan keyakinan.

Apabila jam menghampiri 9.50 pagi, semua panel examiner telah hadir.

Ketika itu?

Tipulah kalau aku kata tidak cuak.

Memang berdebar.

Macam-macam perasaan ada.

Tapi Alhamdulillah, taklah sampai sakit perut macam sehari sebelumnya. Terima kasih Fiza. Tips makan yogurt memang menjadi!

Sebaik sahaja Pengerusi Viva menyapa dengan begitu lemah lembut dan mesra, perasaan gementar itu mula berkurang sedikit.

Tepat jam 10 pagi, sesi Viva bermula.

Pembentangan berlangsung selama 19 minit. Alhamdulillah, mengikut masa yang ditetapkan. Siap Pengerusi beritahu masih ada baki satu minit lagi. Kalau ikut nasihat penyelia, sebenarnya aku cuba sasarkan sekitar 15 minit sahaja kerana examiner semua sudah membaca tesis. Tetapi Alhamdulillah, semua perkara penting sempat disentuh dan tiada yang tersangkut semasa pembentangan.

Kemudian bermulalah sesi yang sering dianggap sebagai "peperangan" oleh kebanyakan calon PhD.

Masa untuk mempertahankan kajian yang telah bertahun-tahun diusahakan.

Examiner pertama merupakan examiner luar negara.

Alhamdulillah, beliau memulakan sesi dengan komen yang sangat positif terhadap kajianku. Mendengar maklum balas tersebut membuatkan aku sedikit lega. Beliau mengemukakan sekitar empat soalan dan aku cuba menjawab serta mempertahankan kajian sebaik mungkin.

Yang paling aku seronok, beliau nampak dan menghargai framework utama yang aku cadangkan dalam kajian ini. Cuma beliau berpendapat aku kurang memberikan penjelasan yang mendalam mengenainya semasa pembentangan. Bila difikirkan semula, mungkin betul juga kerana dalam tesis aku telah menghuraikan secara terperinci bagaimana empat framework yang lain akhirnya membentuk integrated framework tersebut.

Cadangan beliau memang sangat baik dan aku akan tambah baik perkara itu dalam pembetulan nanti.

Kemudian giliran examiner kedua, juga dari luar negara.

Sekali lagi aku bersyukur kerana beliau turut memulakan sesi dengan pujian dan maklum balas yang positif. Malah beliau menyatakan bahawa beliau seronok membaca tesisku dan berpuas hati dengan dapatan kajian yang dikemukakan.

Mendengar kata-kata itu benar-benar memberikan semangat.

Beliau mengemukakan sekitar enam hingga tujuh soalan. Aku cuba menjawab sebaik mungkin. Tak perlulah aku cerita panjang tentang jawapannya, tetapi Alhamdulillah semuanya diterima dengan baik walaupun ada ketika aku sendiri rasa jawapan aku agak kelam-kabut.

Kemudian tibalah giliran examiner dalaman.

Yang ini sedikit mendebarkan.

Kalau ikutkan, aku sebenarnya bersyukur mendapat examiner dalaman ini. Sebelum pengumuman dibuat, aku menjangkakan seorang profesor lain akan menjadi examiner dalaman. Kalau betul yang aku jangka itu, mungkin "masak" juga aku hari tersebut. Hahaha.

Beliau memulakan sesi dengan menyatakan bahawa beliau bersetuju dengan cadangan dan pandangan yang diberikan oleh kedua-dua examiner luar tadi.

Kemudian aku terdengar perkataan "major".

Ya Allah.

Terus rasa macam nak pitam sekejap.

Dalam kepala terus terbayang "Major Correction".

Rupanya bukan.

Beliau sebenarnya merujuk kepada "major contribution" atau sesuatu yang positif berkaitan sumbangan kajian. Masa itu memang lega semula.

Dan memang betul, banyak juga soalan yang diberikan. Rasanya sekitar tujuh soalan.

Kalau ikut catatan dan nota yang ada pada tesis aku ketika itu, rasanya lebih 20 perkara yang beliau boleh tanya.

Nasib baik tak kena "gasak" habis-habisan.

Alhamdulillah.

Aku cuba menjawab yang terbaik. Cuma aku akui kelemahan utama aku ialah penguasaan Bahasa Inggeris. Kadang-kadang idea ada dalam kepala, tetapi agak sukar untuk menyusun dan menyampaikannya dengan lancar seperti yang diinginkan.

Namun begitu, Alhamdulillah. Pengerusi dan examiner dalaman banyak membantu memudahkan perbincangan. Suasana tetap profesional tetapi sangat positif.

Secara keseluruhannya, sesi soal jawab berlangsung hampir 50 minit.

Sekitar jam 11.30 pagi, sesi tamat.

Kemudian aku diminta keluar sementara panel berbincang mengenai keputusan.

Saat itulah perasaan menjadi paling sukar digambarkan.

Walaupun aku tahu aku sudah memberikan yang terbaik, kelemahan dari sudut bahasa membuatkan aku masih risau dengan keputusan yang bakal diterima.

Di luar bilik, aku duduk bersama Prof. Kiran dan Dr. Samsul.

Tapi fikiran sebenarnya kosong.

Tak tahu nak fikir apa.

Hanya menunggu.

Dan berdoa.

Lebih kurang 10 minit kemudian, aku dipanggil masuk semula.

Masa itu memang "dup dap, dup dap".

Jantung berdegup lebih kuat daripada biasa.

Pengerusi mula bercakap.

Aku cuba mendengar setiap patah perkataan.

Kemudian aku terdengar perkataan yang paling aku tunggu.

"Congratulations."

Saat itu juga air mata mula menitis.

Tidak mampu ditahan.

Kemudian disusuli dengan keputusan:

Pass with Minor Corrections.

Alhamdulillah.

Alhamdulillah.

Alhamdulillah.

Hanya Allah SWT yang tahu apa yang aku rasa ketika itu.

Bertahun-tahun usaha, pengorbanan masa, tenaga, emosi, perjalanan turun naik sepanjang pengajian PhD, semuanya seolah-olah terbayang kembali dalam beberapa saat sahaja.

Selepas itu aku menyampaikan ucapan terima kasih dan penghargaan kepada Pengerusi, examiner, panel serta penyeliaku yang banyak membantu sepanjang perjalanan ini.

Kemudian sesi bergambar pun bermula.

Apabila bertemu Prof. Kiran selepas sesi tersebut, jujurnya aku rasa macam hendak memeluk beliau. Banyak sangat jasa dan pengorbanan beliau sepanjang perjalanan PhD aku. Kami semua menganggap beliau seperti seorang ibu yang sentiasa membimbing dan menjaga anak-anak pelajarnya.

Tapi mana mungkin.

Walaupun aku rasa beliau mungkin faham apa yang aku rasa ketika itu.

Akhirnya aku memeluk Dr. Ali dan Dr. Sam.

Sebenarnya aku nak cerita sedikit tentang pelukan ini.

Bila kita melalui satu perjalanan yang panjang dan penuh cabaran, ada ketika kita tidak sedar berapa banyak beban yang kita pikul. Tetapi saat kita memeluk orang yang banyak membantu kita, orang yang sentiasa menyokong kita sepanjang perjalanan itu, perasaan lega yang hadir memang sukar digambarkan.

Seolah-olah semua beban yang dipikul selama ini hilang begitu sahaja.

Kalau ada mak, baba, isteri dan anak-anak di situ ketika itu, pasti akan aku peluk seerat-eratnya.

Yang tinggal hanyalah rasa syukur dan bahagia.

Selepas itu aku membuat panggilan video kepada keluarga.

Dan sekali lagi air mata menitis.

Lebih-lebih lagi apabila mendengar suara mak yang turut sebak di hujung talian.

Fuh...

Perasaan itu memang tidak dapat digambarkan dengan kata-kata.











Selepas selesai bercakap dengan keluarga, aku mengajak para penyelia makan tengah hari bersama-sama.


Lunch di QBistro bersama Prof. Kiran, Dr. Sam, Dr. Aida dan Fiza.

Kami berbual tentang sesi Viva tadi, komen examiner dan macam-macam lagi.

Buat pertama kali selepas beberapa jam yang mendebarkan, aku benar-benar dapat menarik nafas lega.




Selesai makan tengah hari, aku terus pulang ke Melaka untuk bertemu keluarga pula.

Alhamdulillah.

Terima kasih yang tidak terhingga kepada semua yang mendoakan aku.

Kepada keluarga, sahabat-sahabat, rakan-rakan PhD, para pensyarah, penyelia dan semua yang pernah membantu secara langsung atau tidak langsung sepanjang perjalanan ini.

Doa kalian sangat bermakna.

Istimewa juga kerana ada sahabat-sahabat yang sedang mengerjakan Haji tahun ini turut mendoakan aku di Tanah Suci.

Terima kasih Razak yang mengirimkan audio doa dari Mekah, Kak Hani di depan kaabah dan di Raudah, En. Zubir dan semua rakan-rakan yang lain.




Aku benar-benar terharu.

Sangat menghargainya.

Dan yang lebih istimewa, 16 Jun 2026 juga merupakan hari terakhir Tahun Hijrah 1447 dan bermulanya Tahun Baharu Hijrah 1448.

Seolah-olah Allah SWT menutup satu lembaran perjalanan hidupku dengan satu kenangan yang sangat indah.

Alhamdulillah atas segala nikmat.

PhD bukan sekadar tentang sebuah tesis.

Ia adalah perjalanan mengenal diri, belajar sabar, belajar tawakal, belajar menerima kelemahan diri, dan belajar bahawa setiap kejayaan sebenarnya datang daripada izin Allah SWT.

Alhamdulillah. ❤️

#phdjourney
#vivavoce

No comments:

Post a Comment