16 Jun 2026 – My VIVA VOCE Memori Untuk Disimpan dan Dikenang

  Alhamdulillah. 16 Jun 2026, satu tarikh yang insya-Allah akan kekal dalam ingatan aku sampai bila-bila. Perjalanan menghadapi sesi Viva Vo...

Friday, June 19, 2026

16 Jun 2026 – My VIVA VOCE Memori Untuk Disimpan dan Dikenang

 

Alhamdulillah.

16 Jun 2026, satu tarikh yang insya-Allah akan kekal dalam ingatan aku sampai bila-bila.

Perjalanan menghadapi sesi Viva Voce pada 16 Jun bermula seperti hari-hari biasa, cuma aku bangun lebih awal sedikit. Jam 4.30 pagi dah terjaga. Selepas solat sunat, membaca Surah Yasin dan berdoa agar dipermudahkan segala urusan, aku sempat membuat sedikit ulang kaji. Bukan baca semua pun, sekadar melihat semula beberapa soalan dan jawapan yang berpotensi ditanya oleh examiner.

Malam sebelumnya juga banyak input dan perkongsian yang diberikan oleh sahabat-sahabat dalam kumpulan PhD. Alhamdulillah, mempunyai sistem sokongan yang baik sememangnya satu nikmat yang besar untuk seorang calon PhD. Kata-kata semangat, cadangan jawapan dan doa mereka sedikit sebanyak membantu menenangkan fikiran.

Terima kasih geng peers — Aida, Ikhwan, Fara, Kak Norze, Fiza, Mas, Kak D dan ramai lagi yang sentiasa ada sepanjang perjalanan ini. Sesungguhnya aku sangat menghargainya.

Sebelum bertolak ke Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Universiti Malaya, aku sempat menghubungi keluarga tercinta. Mohon doa daripada mak, baba, isteri, anak-anak dan ahli keluarga yang lain. Aku juga cuba berehat dan menenangkan diri supaya hati lebih lapang dan fikiran lebih fokus.

Sekitar jam 8 pagi aku bertolak ke UM. Awal sedikit daripada yang diperlukan. Bukan apa, sekadar persediaan jika berlaku perkara yang tidak dijangka, dan dalam masa yang sama memberi ruang untuk aku bertenang sebelum sesi bermula.

Sampai sahaja di UM, sahabatku Dr. Aida sudah menunggu. Kehadiran beliau benar-benar membantu menenangkan perasaan yang ketika itu mula bercampur-baur. Sebelum masuk ke bilik, kami sempat berbual santai dan bergurau sedikit.


Jam 9.30 pagi, Dr. Aida mengiringi aku masuk ke bilik Viva untuk menguji slaid dan memastikan semuanya berjalan lancar. Sempat juga buat video sikit sebagai kenangan. Hahaha.

Tidak lama kemudian, sekitar jam 9.45 pagi, penyeliaku, Prof. Kiran dan Dr. Sam tiba. Sehari sebelumnya kami sempat membuat sedikit sesi latihan dan mereka memberikan banyak nasihat yang sangat berguna. Walaupun ada beberapa perkara yang sebenarnya aku masih kurang jelas, tapi nak tak nak kena hadapi juga.

Alhamdulillah, sedikit sebanyak ia membantu meningkatkan keyakinan.

Apabila jam menghampiri 9.50 pagi, semua panel examiner telah hadir.

Ketika itu?

Tipulah kalau aku kata tidak cuak.

Memang berdebar.

Macam-macam perasaan ada.

Tapi Alhamdulillah, taklah sampai sakit perut macam sehari sebelumnya. Terima kasih Fiza. Tips makan yogurt memang menjadi!

Sebaik sahaja Pengerusi Viva menyapa dengan begitu lemah lembut dan mesra, perasaan gementar itu mula berkurang sedikit.

Tepat jam 10 pagi, sesi Viva bermula.

Pembentangan berlangsung selama 19 minit. Alhamdulillah, mengikut masa yang ditetapkan. Siap Pengerusi beritahu masih ada baki satu minit lagi. Kalau ikut nasihat penyelia, sebenarnya aku cuba sasarkan sekitar 15 minit sahaja kerana examiner semua sudah membaca tesis. Tetapi Alhamdulillah, semua perkara penting sempat disentuh dan tiada yang tersangkut semasa pembentangan.

Kemudian bermulalah sesi yang sering dianggap sebagai "peperangan" oleh kebanyakan calon PhD.

Masa untuk mempertahankan kajian yang telah bertahun-tahun diusahakan.

Examiner pertama merupakan examiner luar negara.

Alhamdulillah, beliau memulakan sesi dengan komen yang sangat positif terhadap kajianku. Mendengar maklum balas tersebut membuatkan aku sedikit lega. Beliau mengemukakan sekitar empat soalan dan aku cuba menjawab serta mempertahankan kajian sebaik mungkin.

Yang paling aku seronok, beliau nampak dan menghargai framework utama yang aku cadangkan dalam kajian ini. Cuma beliau berpendapat aku kurang memberikan penjelasan yang mendalam mengenainya semasa pembentangan. Bila difikirkan semula, mungkin betul juga kerana dalam tesis aku telah menghuraikan secara terperinci bagaimana empat framework yang lain akhirnya membentuk integrated framework tersebut.

Cadangan beliau memang sangat baik dan aku akan tambah baik perkara itu dalam pembetulan nanti.

Kemudian giliran examiner kedua, juga dari luar negara.

Sekali lagi aku bersyukur kerana beliau turut memulakan sesi dengan pujian dan maklum balas yang positif. Malah beliau menyatakan bahawa beliau seronok membaca tesisku dan berpuas hati dengan dapatan kajian yang dikemukakan.

Mendengar kata-kata itu benar-benar memberikan semangat.

Beliau mengemukakan sekitar enam hingga tujuh soalan. Aku cuba menjawab sebaik mungkin. Tak perlulah aku cerita panjang tentang jawapannya, tetapi Alhamdulillah semuanya diterima dengan baik walaupun ada ketika aku sendiri rasa jawapan aku agak kelam-kabut.

Kemudian tibalah giliran examiner dalaman.

Yang ini sedikit mendebarkan.

Kalau ikutkan, aku sebenarnya bersyukur mendapat examiner dalaman ini. Sebelum pengumuman dibuat, aku menjangkakan seorang profesor lain akan menjadi examiner dalaman. Kalau betul yang aku jangka itu, mungkin "masak" juga aku hari tersebut. Hahaha.

Beliau memulakan sesi dengan menyatakan bahawa beliau bersetuju dengan cadangan dan pandangan yang diberikan oleh kedua-dua examiner luar tadi.

Kemudian aku terdengar perkataan "major".

Ya Allah.

Terus rasa macam nak pitam sekejap.

Dalam kepala terus terbayang "Major Correction".

Rupanya bukan.

Beliau sebenarnya merujuk kepada "major contribution" atau sesuatu yang positif berkaitan sumbangan kajian. Masa itu memang lega semula.

Dan memang betul, banyak juga soalan yang diberikan. Rasanya sekitar tujuh soalan.

Kalau ikut catatan dan nota yang ada pada tesis aku ketika itu, rasanya lebih 20 perkara yang beliau boleh tanya.

Nasib baik tak kena "gasak" habis-habisan.

Alhamdulillah.

Aku cuba menjawab yang terbaik. Cuma aku akui kelemahan utama aku ialah penguasaan Bahasa Inggeris. Kadang-kadang idea ada dalam kepala, tetapi agak sukar untuk menyusun dan menyampaikannya dengan lancar seperti yang diinginkan.

Namun begitu, Alhamdulillah. Pengerusi dan examiner dalaman banyak membantu memudahkan perbincangan. Suasana tetap profesional tetapi sangat positif.

Secara keseluruhannya, sesi soal jawab berlangsung hampir 50 minit.

Sekitar jam 11.30 pagi, sesi tamat.

Kemudian aku diminta keluar sementara panel berbincang mengenai keputusan.

Saat itulah perasaan menjadi paling sukar digambarkan.

Walaupun aku tahu aku sudah memberikan yang terbaik, kelemahan dari sudut bahasa membuatkan aku masih risau dengan keputusan yang bakal diterima.

Di luar bilik, aku duduk bersama Prof. Kiran dan Dr. Samsul.

Tapi fikiran sebenarnya kosong.

Tak tahu nak fikir apa.

Hanya menunggu.

Dan berdoa.

Lebih kurang 10 minit kemudian, aku dipanggil masuk semula.

Masa itu memang "dup dap, dup dap".

Jantung berdegup lebih kuat daripada biasa.

Pengerusi mula bercakap.

Aku cuba mendengar setiap patah perkataan.

Kemudian aku terdengar perkataan yang paling aku tunggu.

"Congratulations."

Saat itu juga air mata mula menitis.

Tidak mampu ditahan.

Kemudian disusuli dengan keputusan:

Pass with Minor Corrections.

Alhamdulillah.

Alhamdulillah.

Alhamdulillah.

Hanya Allah SWT yang tahu apa yang aku rasa ketika itu.

Bertahun-tahun usaha, pengorbanan masa, tenaga, emosi, perjalanan turun naik sepanjang pengajian PhD, semuanya seolah-olah terbayang kembali dalam beberapa saat sahaja.

Selepas itu aku menyampaikan ucapan terima kasih dan penghargaan kepada Pengerusi, examiner, panel serta penyeliaku yang banyak membantu sepanjang perjalanan ini.

Kemudian sesi bergambar pun bermula.

Apabila bertemu Prof. Kiran selepas sesi tersebut, jujurnya aku rasa macam hendak memeluk beliau. Banyak sangat jasa dan pengorbanan beliau sepanjang perjalanan PhD aku. Kami semua menganggap beliau seperti seorang ibu yang sentiasa membimbing dan menjaga anak-anak pelajarnya.

Tapi mana mungkin.

Walaupun aku rasa beliau mungkin faham apa yang aku rasa ketika itu.

Akhirnya aku memeluk Dr. Ali dan Dr. Sam.

Sebenarnya aku nak cerita sedikit tentang pelukan ini.

Bila kita melalui satu perjalanan yang panjang dan penuh cabaran, ada ketika kita tidak sedar berapa banyak beban yang kita pikul. Tetapi saat kita memeluk orang yang banyak membantu kita, orang yang sentiasa menyokong kita sepanjang perjalanan itu, perasaan lega yang hadir memang sukar digambarkan.

Seolah-olah semua beban yang dipikul selama ini hilang begitu sahaja.

Kalau ada mak, baba, isteri dan anak-anak di situ ketika itu, pasti akan aku peluk seerat-eratnya.

Yang tinggal hanyalah rasa syukur dan bahagia.

Selepas itu aku membuat panggilan video kepada keluarga.

Dan sekali lagi air mata menitis.

Lebih-lebih lagi apabila mendengar suara mak yang turut sebak di hujung talian.

Fuh...

Perasaan itu memang tidak dapat digambarkan dengan kata-kata.











Selepas selesai bercakap dengan keluarga, aku mengajak para penyelia makan tengah hari bersama-sama.


Lunch di QBistro bersama Prof. Kiran, Dr. Sam, Dr. Aida dan Fiza.

Kami berbual tentang sesi Viva tadi, komen examiner dan macam-macam lagi.

Buat pertama kali selepas beberapa jam yang mendebarkan, aku benar-benar dapat menarik nafas lega.




Selesai makan tengah hari, aku terus pulang ke Melaka untuk bertemu keluarga pula.

Alhamdulillah.

Terima kasih yang tidak terhingga kepada semua yang mendoakan aku.

Kepada keluarga, sahabat-sahabat, rakan-rakan PhD, para pensyarah, penyelia dan semua yang pernah membantu secara langsung atau tidak langsung sepanjang perjalanan ini.

Doa kalian sangat bermakna.

Istimewa juga kerana ada sahabat-sahabat yang sedang mengerjakan Haji tahun ini turut mendoakan aku di Tanah Suci.

Terima kasih Razak yang mengirimkan audio doa dari Mekah, Kak Hani di depan kaabah dan di Raudah, En. Zubir dan semua rakan-rakan yang lain.




Aku benar-benar terharu.

Sangat menghargainya.

Dan yang lebih istimewa, 16 Jun 2026 juga merupakan hari terakhir Tahun Hijrah 1447 dan bermulanya Tahun Baharu Hijrah 1448.

Seolah-olah Allah SWT menutup satu lembaran perjalanan hidupku dengan satu kenangan yang sangat indah.

Alhamdulillah atas segala nikmat.

PhD bukan sekadar tentang sebuah tesis.

Ia adalah perjalanan mengenal diri, belajar sabar, belajar tawakal, belajar menerima kelemahan diri, dan belajar bahawa setiap kejayaan sebenarnya datang daripada izin Allah SWT.

Alhamdulillah. ❤️

#phdjourney
#vivavoce

Friday, February 13, 2026

Menghidupkan Tradisi Ilmu: Pengenalan kepada Talaqqi dan Pelaksanaannya di PTAR UiTM

Pengajian Talaqqi

Dalam tradisi pendidikan Islam, proses menuntut ilmu bukan sekadar membaca buku atau menghadiri kuliah. Ia merupakan satu perjalanan rohani yang melibatkan hubungan langsung antara guru dan murid. Salah satu kaedah pengajian yang paling lama diamalkan dalam sejarah Islam ialah talaqqi.

Kaedah ini bukan sahaja menekankan penyampaian ilmu, tetapi juga pembentukan adab, akhlak, dan keberkatan dalam proses pembelajaran.


Apa Itu Talaqqi?

Secara ringkas, talaqqi merujuk kepada proses pembelajaran secara bersemuka antara guru dan murid. Kaedah ini telah diamalkan sejak zaman Rasulullah SAW apabila para sahabat mempelajari al-Qur’an, hadith, dan ilmu agama secara langsung daripada Baginda.

Menurut Ismail et al. (2013), talaqqi dalam tradisi Islam berkait rapat dengan konsep sanad, iaitu rangkaian penyampaian ilmu yang bersambung daripada guru kepada murid sehingga ke sumber asal. Dalam pengajian hadith, proses ini boleh berlaku melalui beberapa kaedah seperti:

  • al-sama’ – murid mendengar bacaan guru

  • al-qira’ah – murid membaca di hadapan guru

  • al-ijazah – guru memberi keizinan untuk menyampaikan ilmu

Melalui sistem ini, ilmu disampaikan secara tepat dan terpelihara dari satu generasi ke generasi yang lain.




Talaqqi dalam Tradisi Melayu-Islam

Dalam masyarakat Melayu, talaqqi bukan sesuatu yang asing. Ia telah lama diamalkan dalam sistem pengajian pondok, madrasah, dan institusi tahfiz. Murid akan duduk berhadapan dengan guru, membaca, menghafaz, dan mengulang pelajaran secara berterusan.

Kajian oleh Hermawan dan Qomaruddin (2024) mendapati bahawa kaedah talaqqi masih relevan dalam institusi tahfiz moden. Kejayaannya dipengaruhi oleh suasana pembelajaran yang kondusif, kemudahan yang mencukupi, serta peranan guru yang berpengalaman.

Menariknya, konsep talaqqi juga berjaya disesuaikan dalam pembelajaran dalam talian semasa pandemik COVID-19. Walaupun medium berubah, prinsip asas seperti bimbingan guru dan interaksi langsung tetap dikekalkan (Al-Qanatir, 2022).


Mengapa Talaqqi Sangat Istimewa?

Talaqqi mempunyai beberapa kelebihan yang menjadikannya terus relevan sehingga hari ini.

1. Ketepatan ilmu
Guru boleh membetulkan kesilapan bacaan dan kefahaman secara langsung.

2. Membantu hafazan
Kajian menunjukkan kaedah talaqqi memberi kesan signifikan terhadap kemampuan hafazan al-Qur’an, dengan sumbangan kesan sekitar 37% (Achmad et al., 2022).

3. Membentuk adab dan akhlak
Interaksi bersemuka dengan guru membantu membina disiplin, kesabaran, dan hormat dalam menuntut ilmu.

4. Ilmu bersanad
Sistem sanad memastikan ilmu yang dipelajari bersambung kepada sumber yang sahih (Ismail et al., 2013).



Adab Menuntut Ilmu

Dalam Islam, menuntut ilmu adalah satu ibadah. Ia bukan sekadar proses akademik, tetapi satu jalan untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT.

Menurut Suyurno (2026), menuntut ilmu merupakan kewajipan, sama ada:

  • Fard ‘ain – ilmu asas agama yang wajib dipelajari setiap individu

  • Fard kifayah – ilmu yang diperlukan oleh masyarakat

Sejarah para ulama seperti Imam al-Bukhari, Imam al-Syafi‘i, dan Imam Ahmad menunjukkan kesungguhan mereka dalam menuntut ilmu walaupun terpaksa mengembara jauh.

Antara adab utama menuntut ilmu ialah:

  • Ikhlas kerana Allah SWT

  • Menghormati guru

  • Bersabar dan istiqamah

  • Mengamalkan ilmu yang dipelajari

  • Menjaga disiplin dalam majlis ilmu

Adab inilah yang menjadikan ilmu itu berkat dan memberi kesan kepada kehidupan.




Talaqqi Kerohanian di Perpustakaan Tun Abdul Razak, UiTM

Bagi menghidupkan tradisi majlis ilmu dalam suasana kampus, Perpustakaan Tun Abdul Razak (PTAR) UiTM telah memperkenalkan Program Talaqqi Kerohanian sebagai salah satu inisiatif pembudayaan ilmu pada tahun 2026 (Azizi Jantan, 2026).

Program ini dilaksanakan secara mingguan dengan pelbagai cabang ilmu seperti:

  • Fiqah

  • Akidah

  • Taranum

  • Hadith

Ia dianjurkan dengan kerjasama Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS) bagi membawa suasana pengajian tradisional ke dalam ruang perpustakaan.

Pendekatan ini menjadikan perpustakaan bukan sekadar tempat membaca, tetapi juga ruang pembinaan rohani dan sahsiah.


Sesi Talaqqi Siri Pertama

Sesi pertama telah disampaikan oleh Prof. Dr. S. Salahudin Suyurno, Dekan ACIS, dengan tajuk Kelebihan Menuntut Ilmu. Program ini diadakan pada 13 Februari 2026 di Ruang Telaah, PTAR.

Menariknya, sesi ini dilaksanakan dengan konsep talaqqi tradisional:

  • Peserta duduk bersila

  • Mendengar pengajian secara berdepan

  • Menjaga adab dalam majlis ilmu

Hampir 100 peserta hadir memenuhi ruang tersebut, menunjukkan sambutan yang sangat menggalakkan.

Sesi ini mengingatkan bahawa menuntut ilmu bukan sekadar menambah pengetahuan, tetapi membentuk hati, adab, dan keseimbangan rohani. Program turut disusuli dengan bacaan Yasin dan tahlil sempena menyambut Ramadan al-Mubarak.


Penutup

Program Talaqqi Kerohanian di PTAR membuktikan bahawa perpustakaan boleh berperanan sebagai pusat pembudayaan ilmu yang menyeluruh—bukan sahaja dari sudut akademik, tetapi juga pembangunan sahsiah dan rohani.

Dengan menghidupkan tradisi talaqqi, perpustakaan kembali menjadi ruang majlis ilmu yang menyatukan guru, pelajar, dan komuniti dalam suasana pembelajaran yang penuh adab dan keberkatan.















Rujukan :

Achmad, Z. A., et al. (2022). Pengaruh metode talaqqi terhadap kemampuan menghafal Al-Qur’an. al-Afkar Journal.

Al-Qanatir. (2022). Adaptasi konsep talaqqi dalam pembelajaran dalam talian semasa pandemik COVID-19. Al-Qanatir International Journal of Islamic Studies.

Hermawan, T., & Qomaruddin. (2024). Implementasi metode talaqqi dalam pembelajaran tahfiz. Alasma Journal.

Ismail, et al. (2013). Penerokaan talaqqi bersanad dalam pengajian hadith di Malaysia. Islamiyyat, 35(2).

Suyurno, S. S. (2026). Kelebihan menuntut ilmu [Slaid kuliah]. Akademi Pengajian Islam Kontemporari, UiTM.

Azizi Jantan. (2026). Amanat Ketua Pustakawan UiTM 2026. Universiti Teknologi MARA.

Sunday, June 8, 2025

HARI KEEMPAT CSR Kemboja 5-8 Jun 2025 (PROGRAM PENGANTARABANGSAAN KHIDMAT MASYARAKAT: KORBAN DAN WAKAF TELAGA DI KEMBOJA SIRI IV )

Hari Keempat | 8 Jun 2025

Hari terakhir di bumi Kemboja… dan macam biasa, kami terbangun lewat lagi. Badan pun memang dah terlalu penat. Hari ni, kami bergabung semula dengan team Dr. Ismail, berkongsi cerita, gelak ketawa dan pastinya... masa untuk ucap selamat tinggal.

Hari ni juga hari perpisahan antara beberapa kumpulan. Aku, Akif dan Daniel terus balik ke KL dengan penerbangan awal. Irshad pula ambil penerbangan petang sikit. Manakala Dr. Dziaudin dan Atif sambung kembara ke Ho Chi Minh. Ada juga sebahagian team yang asalnya nak ke Bangkok, tapi akhirnya terpaksa tukar plan saat akhir sebab berlaku ketegangan di sempadan Thailand–Kemboja. Dengar cerita, ada insiden tembak-menembak yang menyebabkan seorang askar Kemboja terbunuh. Demi keselamatan, team tersebut alihkan destinasi ke Ho Chi Minh. Mungkin tambah kos, tapi keselamatan tetap nombor satu.



Sebelum ke lapangan terbang, sempat juga shopping last minute di Central Market. Borong juga lah sikit-sikit untuk buat kenangan dan buah tangan. Sebenarnya lebih kepada nak habiskan duit Riel yang berbaki, tapi lucunya... duit tetap tak habis sebab dah tak tahu nak beli apa. Akhirnya tukar balik ke Ringgit Malaysia. Kena ingat, duit Riel tak laku kat Malaysia, jadi kalau nak tukar, kena tukar di Kemboja juga.




Selesai semua urusan, kami pun terus ke lapangan terbang Phnom Penh. Alhamdulillah, semua berjalan lancar. Aku selamat tiba di KL dalam pukul 3 petang, kalau tak silap. Disebabkan esok dah mula kerja, aku tak sempat nak balik ke Melaka lagi. Maknanya… dah hampir dua minggu aku tak jumpa keluarga.

Malam tu, aku tumpang tidur di rumah kawan – si Nas, yang sudi jemput aku dari airport. Terima kasih Nas, banyak membantu. Satu persatu kenangan sepanjang misi CSR kali ini bermain dalam fikiran masa baring malam tu…


Dan begitulah… berakhirnya kembara penuh makna kali ini. Penat memang penat, tapi hati puas. Terlalu banyak yang aku belajar – tentang erti syukur, tentang kemanusiaan, tentang persahabatan dan tentang kebersamaan.

Tak semua perjalanan perlu mewah, tapi setiap langkah yang kita ambil bersama niat yang ikhlas, akan selalu jadi kenangan yang mahal harganya.

#CSRkemboja
#AidiladhaKemboja
#UiTMMelaka
#TeamAmalMedic
#KenanganBermakna
#KembaraRohani
#BaktiUntukUmmah
#Kemboja2025
#TamatKembaraCSR

Thursday, June 5, 2025

HARI KEDUA - CSR Kemboja 5-8 Jun 2025 (PROGRAM PENGANTARABANGSAAN KHIDMAT MASYARAKAT: KORBAN DAN WAKAF TELAGA DI KEMBOJA SIRI IV )

 Hari Kedua | 6 Jun 2025

Walaupun badan masih terasa letih sebab perjalanan semalam, tapi seawal 4.30 pagi aku dah bangun – subuh kat Kemboja memang masuk awal. Lepas mandi dan bersiap, kami bersarapan ringkas dan terus bersiap untuk ke lokasi program.

Tepat jam 8.00 pagi, kami bergerak ke sebuah kampung Muslim untuk program CSR. Program utama hari tu ialah aktiviti berkhatan percuma yang dikendalikan oleh Team Amal Medic. Serius, kagum aku tengok komitmen pasukan perubatan ni – sepanjang hari dari pagi sampai ke waktu maghrib, mereka khatankan kira-kira 80 orang anak-anak Muslim Kemboja.




Dari pihak UiTM pula, kami kendalikan aktiviti bersama kanak-kanak – kelas literasi Bahasa Inggeris dan sesi mewarna. Meriah sungguh suasana – dengan tawa riang budak-budak, bunyi pensel warna, dan sorakan bila dapat hadiah dan jajan. Ada lebih 50 orang kanak-kanak sertai program ni, dan semangat mereka sangat luar biasa walaupun dalam serba kekurangan.

Paling menarik, pelajar UiTM yang join kali ni pun tak ketinggalan untuk turun padang bantu doktor-doktor masa proses berkhatan. Aku perhati, walaupun mula-mula cuak, tapi mereka beranikan diri juga – tolong pegang budak, hulur peralatan… satu pengalaman “once in a lifetime” yang aku pasti mereka takkan lupa.


Untuk makluman, program khatan ni percuma sepenuhnya untuk anak-anak Islam di Kemboja. Kalau kat Malaysia, kos berkhatan boleh cecah RM150–RM250 seorang, tapi kat Kemboja, ramai tak mampu dan pula kurangnya doktor Islam atau tok mudim yang mahir jadi hal ni memang satu nikmat besar buat mereka.

Disebabkan kami ada destinasi seterusnya, kami tak sempat tunggu program berkhatan sampai habis. Kami terpaksa bertolak lebih awal menuju ke kampung Muslim berikutnya – perjalanan hampir 9 jam! Jauh, letih… tapi ada seronoknya.

Sebelum sampai ke hotel penginapan, kami sempat singgah di kawasan bersejarah Angkor Wat – tempat yang sangat ikonik dan sarat nilai sejarah. Malam tu pula, kami ronda-ronda di Pasar Malam Siem Reap. Macam-macam ada, harga pun murah. Memang tempat wajib borong souvenir kalau ke sini.



Lepas puas berjalan dan membeli, akhirnya kami check in hotel dalam pukul 12 tengah malam. Hahaha… memang penat sungguh, kaki pun rasa nak tercabut, tapi hati tetap rasa puas. Esok pagi kena bangun awal lagi – solat raya Aidiladha dan program korban pula menanti.

To be continued…

Next: Raya, korban, dan momen paling menyentuh jiwa bersama komuniti Islam Kemboja 💛


#CSRkemboja #UiTMMelaka #TeamAmalMedic #KembaraBakti #AidiladhaKemboja #Kemboja2025

Wednesday, June 4, 2025

HARI PERTAMA CSR Kemboja 5-8 Jun 2025 (PROGRAM PENGANTARABANGSAAN KHIDMAT MASYARAKAT: KORBAN DAN WAKAF TELAGA DI KEMBOJA SIRI IV )

Dah lama aku tak update muka buku ni dengan cerita perjalanan hidup dan kenangan yang bermakna. Jadi kali ni aku nak coretkan sedikit tentang pengalaman baru-baru ni yang cukup menyentuh hati.

CSR Kemboja – Tahun ke-7.
Alhamdulillah… selepas hampir tiga tahun tak dapat turun padang ke Kemboja sebab cuti belajar dan tak boleh keluar negara, akhirnya tahun ni Allah izinkan aku kembali menyertai misi kemanusiaan di beberapa perkampungan Islam di sana. Kali ni aku bersama team dari UiTM Melaka dan buat pertama kalinya bekerjasama dengan Team Amal Medic yang diketuai oleh Dr. Ismail.

Rombongan dari UiTM Melaka ada 6 orang – Dr. Dzia, Akif, Danial, Atif, Irshad dan aku. Manakala team Amal Medic pula seramai 22 orang. Walaupun ini tahun ke-7 aku join program CSR di Kemboja, tapi inilah kali pertama aku beraya dan solat sunat Aidiladha di sana. Lagi menarik, ini juga kali pertama aku bekerjasama rapat dengan team Dr. Ismail – satu pengalaman yang sangat membuka mata dan hati.


Hari Pertama | 5 Jun 2025

Kami bertolak dari KLIA ke Phnom Penh. Sampai saja, destinasi pertama kami ialah Masjid Negara Kemboja. Walaupun Islam adalah agama minoriti di negara ni – kurang daripada 3% penduduk – tapi masjid negaranya besar dan tersergam indah di tengah ibu kota. Aku rasa kagum dan sebak… dalam keterbatasan pun, umat Islam di sini masih kuat dan bersatu.

Lepas solat, misi mencari jersey bola Cambodia pun bermula. Satu Phnom Penh kami redah – dari satu kedai ke satu kedai – akhirnya jumpa di stadium utama yang masa tu tengah ada perlawanan antara Cambodia dan Tajikistan. Dak si Akif beli 2 jersey baju, dan dapatlah  4 tiket bola percuma, tapi akhirnya tak masuk pun tengok game. Layankan saja budak-budak UiTM yang teruja.

Lepas tu, sempat pusing Pasar Russian cari kasut. Aku berjaya sambar sepasang. Malam tu, kami terus bergerak ke hotel berdekatan kawasan CSR untuk persediaan program esok.


To be continued…
Nanti aku sambung kisah hari-hari seterusnya — aktiviti korban, ziarah komuniti, dan rasa syukur yang tak terungkap bila melihat ketabahan saudara seagama kita di bumi Kemboja.

#CSRkemboja #TeamUiTMMelaka #TeamAmalMedic #AidiladhaKemboja #KembaraBakti #Kemboja2025







Tuesday, June 3, 2025

HARI KETIGA- CSR Kemboja 5-8 Jun 2025 (PROGRAM PENGANTARABANGSAAN KHIDMAT MASYARAKAT: KORBAN DAN WAKAF TELAGA DI KEMBOJA SIRI IV )

 Hari Ketiga | 7 Jun 2025

Asalnya memang niat nak bangun awal pagi untuk sambut Aidiladha dengan penuh semangat, tapi badan dah terlalu penat – terjaga pun lewat sikit… subuh gajah, orang kata. Lepas solat subuh yang hampir-hampir terlepas tu, aku gagahkan diri bersiap untuk solat sunat Aidiladha. Alhamdulillah, walaupun kepala asyik suruh sambung tidur, Allah bagi kekuatan untuk terus ke masjid. Yelah, bukan selalu dapat peluang solat raya di bumi orang, apatah lagi di Kemboja.

Cuma ada satu hal yang kelakar – baju raya aku tertinggal! Jadi, untuk pertama kalinya dalam hidup, aku solat raya pakai t-shirt. Memang rasa janggal dan sedikit terkilan, tapi aku pujuk hati – yang penting bukan baju, tapi niat dan keikhlasan beraya.






Selesai solat dan sarapan, kami terus ke kawasan masjid untuk ibadah korban. Walaupun tak sebanyak tahun-tahun sebelum ni, sebanyak 9 ekor lembu berjaya kami korbankan hasil sumbangan peserta dari Malaysia – warga UiTM dan juga orang awam yang menyertai misi kali ini. Aku sendiri terlibat dalam lafaz wakil korban – satu tanggungjawab yang cukup besar maknanya, walaupun ringkas dari segi lafaz.







Lepas sembelihan, ada bahagian daging yang dimasak untuk jamuan kenduri bersama penduduk kampung, manakala selebihnya diagih-agihkan kepada keluarga yang memerlukan. Suasana hari tu cukup meriah – penuh semangat gotong-royong dan ukhuwah, macam sebuah keluarga besar yang baru bersatu.

Dan ya… satu lagi pengalaman yang tak dapat dilupakan – aku dijemput rasa usus dan lidah lembu. Mula-mula rasa nak muntah, tapi aku telan juga. Sekali makan, eh… boleh tahan sedap pulak! Tapi cukuplah sekali. Hahaha. Aku cuba pun sebab nak hormat budaya mereka dan raikan kebersamaan.

Selesai program korban, kami dibawa melawat tapak wudhu’ yang telah siap dibina hasil infak pewakaf. Kali ini, 2 tempat wudhu’ dan 17 telaga pam berjaya direalisasikan. Telaga-telaga tu tak sempat kami lawat sebab berada di kawasan lain yang agak jauh, tapi syukur – sumbangan ini pastinya sangat membantu masyarakat setempat. Kami juga menyerahkan sumbangan barang keperluan kepada 50 keluarga. Moga Allah melipatgandakan rezeki para penyumbang semua.



Lepas semuanya selesai, kami mula bergerak balik ke Phnom Penh. Tapi sebelum tu, kami sempat singgah di beberapa tempat menarik – alang-alang dah sampai. Masa ni, aku dengan Dr. Dzia pun tumpang sekaki jadi budak-budak ribena – layan kerenah Atif, Irshad, Akif dan Daniel. Melompat sana sini, posing macam-macam gaya… rasa macam muda semula 15 tahun! Tengok sajalah gambar dan video tu nanti, memang pecah perut gelak. Hahahah!





Tapi kegembiraan tu sekejap je… sebab dalam perjalanan balik, Allah uji kami. Van yang kami naik tiba-tiba rosak, dan bunyi meletup kuat buat semua terkejut. Masa tu, tinggal lebih kurang 3 jam je lagi nak sampai Phnom Penh. Jalan pun gelap gulita… memang seram dan cemas. Kami semua cepat-cepat keluar dari van, cari tempat yang selamat.

Nasib baik wakil tempatan cepat bertindak dan berjaya dapatkan van ganti. Tapi sementara tunggu, kami tersadai hampir dua jam di tepi jalan. Masa ni, walaupun letih sangat, tapi momen inilah yang buat kami makin rapat. Macam-macam cerita keluar – dari kisah hidup, kenangan lucu, sampai lah ke cerita seram yang kononnya berlaku masa makan kat restoran… dan juga di tempat van rosak tu sendiri. Hahahah. Nak cerita pun meremang bulu roma… sebab masa tulis ni, bayang "lembaga" tu terlintas balik. Seram oi!

Akhirnya, kami sampai di hotel jam 2 pagi. Letih sangat… tapi puas. Sebab setiap detik, dari pagi sampai ke tengah malam, penuh dengan makna dan kenangan. Esoknya kami akan balik ke Malaysia… dan misi kali ni memang akan kekal dalam ingatan aku selamanya.


To be continued…
Tunggu perkongsian terakhir – refleksi dari hati, tentang apa yang aku belajar dari kembara kemanusiaan ini.

#CSRkemboja #AidiladhaKemboja #UiTMMelaka #TeamAmalMedic #PengalamanTakDilupa #KembaraBakti #BersamaUntukUmmah #Kemboja2025