Hari Kedua | 6 Jun 2025
Walaupun badan masih terasa letih sebab perjalanan semalam, tapi seawal 4.30 pagi aku dah bangun – subuh kat Kemboja memang masuk awal. Lepas mandi dan bersiap, kami bersarapan ringkas dan terus bersiap untuk ke lokasi program.
Tepat jam 8.00 pagi, kami bergerak ke sebuah kampung Muslim untuk program CSR. Program utama hari tu ialah aktiviti berkhatan percuma yang dikendalikan oleh Team Amal Medic. Serius, kagum aku tengok komitmen pasukan perubatan ni – sepanjang hari dari pagi sampai ke waktu maghrib, mereka khatankan kira-kira 80 orang anak-anak Muslim Kemboja.
Dari pihak UiTM pula, kami kendalikan aktiviti bersama kanak-kanak – kelas literasi Bahasa Inggeris dan sesi mewarna. Meriah sungguh suasana – dengan tawa riang budak-budak, bunyi pensel warna, dan sorakan bila dapat hadiah dan jajan. Ada lebih 50 orang kanak-kanak sertai program ni, dan semangat mereka sangat luar biasa walaupun dalam serba kekurangan.
Paling menarik, pelajar UiTM yang join kali ni pun tak ketinggalan untuk turun padang bantu doktor-doktor masa proses berkhatan. Aku perhati, walaupun mula-mula cuak, tapi mereka beranikan diri juga – tolong pegang budak, hulur peralatan… satu pengalaman “once in a lifetime” yang aku pasti mereka takkan lupa.
Untuk makluman, program khatan ni percuma sepenuhnya untuk anak-anak Islam di Kemboja. Kalau kat Malaysia, kos berkhatan boleh cecah RM150–RM250 seorang, tapi kat Kemboja, ramai tak mampu dan pula kurangnya doktor Islam atau tok mudim yang mahir jadi hal ni memang satu nikmat besar buat mereka.
Disebabkan kami ada destinasi seterusnya, kami tak sempat tunggu program berkhatan sampai habis. Kami terpaksa bertolak lebih awal menuju ke kampung Muslim berikutnya – perjalanan hampir 9 jam! Jauh, letih… tapi ada seronoknya.
Sebelum sampai ke hotel penginapan, kami sempat singgah di kawasan bersejarah Angkor Wat – tempat yang sangat ikonik dan sarat nilai sejarah. Malam tu pula, kami ronda-ronda di Pasar Malam Siem Reap. Macam-macam ada, harga pun murah. Memang tempat wajib borong souvenir kalau ke sini.
Lepas puas berjalan dan membeli, akhirnya kami check in hotel dalam pukul 12 tengah malam. Hahaha… memang penat sungguh, kaki pun rasa nak tercabut, tapi hati tetap rasa puas. Esok pagi kena bangun awal lagi – solat raya Aidiladha dan program korban pula menanti.
To be continued…
Next: Raya, korban, dan momen paling menyentuh jiwa bersama komuniti Islam Kemboja 💛
#CSRkemboja #UiTMMelaka #TeamAmalMedic #KembaraBakti #AidiladhaKemboja #Kemboja2025
No comments:
Post a Comment